GOMBAK, 9 Jun - Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 4, di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) arah ke Gombak, pada 6 Jun lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi, remaja lelaki berusia 17 tahun itu dipercayai dari arah Kuala Lumpur menghala ke Gombak
Ketua Polis Daerah Gombak, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira pukul 9.23 malam hari sama.
“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Sentul menghala ke Sri Gombak sebelum motosikal ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori berhampiran Jalan Taman Samudera Selatan, Gombak.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenainya untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019-6026596 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.