fb fb fb fb fb

Dua hilang dalam insiden bot karam di perairan Sematan

Foto JBPM SARAWAK

SEMATAN, 6 November – Dua individu dilaporkan hilang selepas sebuah bot berwarna oren yang dinaiki mereka dipercayai karam di perairan Kampung Pueh, petang tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.40 malam daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Pasukan bomba bergegas ke lokasi sejauh 36 kilometer dan tiba sekitar pukul 8.48 malam bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 7.00 malam apabila bot terbabit dipercayai karam di kawasan perairan berdekatan Kampung Pueh.

Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu segera melancarkan usaha mencari di sekitar Pantai Kem Belia Pueh dan Pantai Mangrove Resort Pueh, namun setakat ini belum menemui sebarang tanda mangsa.

Berikutan keadaan laut bergelora dan suasana gelap, operasi pencarian terpaksa ditangguhkan bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat, dan akan disambung semula esok pagi.

Operasi turut disertai pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tiga anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) lima anggota, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sematan dua orang, serta kira-kira 20 penduduk kampung yang membantu usaha pencarian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN