KUALA LUMPUR, 9 JUN - 14,000 penerima termasuk golongan asnaf menerima agihan daging korban sumbangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim berkata, Sultan Ibrahim sebelum ini berkenan mengurniakan 100 ekor lembu bagi agihan daging korban tersebut.
Selain asnaf, daging korban itu turut diagihkan kepada warga Istana Negara, golongan B40 di jabatan dan agensi kerajaan, rumah anak yatim, sekolah tahfiz, pertubuhan pemulihan dalam komuniti (PDK), dan sekolah.
Selain institusi yang berada di bawah seliaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan (JKMWP).
"Jumlah keseluruhan agihan akikah korban kurniaan daripada Seri Paduka Baginda seramai 14,000 orang di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Program ini hasil kerjasama MAIWP, JAWI dan juga JKMWP".
Beliau bercakap kepada pemberita selepas agihan daging korban di Surau Al Jannah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil, di sini.
Di surau itu, sebanyak empat ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada 225 asnaf sekitar kawasan PPR tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Wira Zailani turut memaklumkan kurniaan ini membuktikan bahawa rakyat sangat dekat di hati Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, khususnya golongan yang memerlukan.
Ia sekali gus membawa bersamanya nilai kasih sayang dan keprihatinan yang amat tinggi nilainya.
"Ia melambangkan kesyukuran bahawasanya Tuanku menyelami hasrat mereka yang kekurangan untuk diberi agihan daripada Tuanku sendiri.
"Kalau di Wilayah Persekutuan ni sebanyak 100 ekor lembu korban, Tuanku telah menitahkan dan pasukan saya dan pasukan Ehwal Bahagian Agama Islam Istana Negara menyusun atur dengan pihak MAIWP, pihak JAWI dan JKMWP untuk mengagihka daging korban ini kepada semua yang patut menerimanya," katanya.