KERATONG, 6 November – Majlis Benih Negara (MBN) kini giat melaksanakan pelan pembangunan dan penggunaan benih tempatan berkualiti tinggi sebagai langkah strategik bagi mengurangkan kebergantungan kepada benih import sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2040.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha itu turut diperkukuh melalui penubuhan Hab Benih Negara, yang berperanan memperkasa industri benih dan baka tempatan.
“Kita sasarkan untuk mengurangkan pengimportan benih sebanyak 30 peratus menjelang 2040. Sekarang ini, banyak benih kita termasuk benih sayur diimport. Dengan adanya Hab Benih Negara, kita akan kurangkan pengimportan dari luar supaya kita mampu hasilkan sendiri,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke MARDI Muadzam Shah, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) kali ke-2 di MARDI Muadzam Shah.
Antara keputusan strategik mesyuarat berkenaan termasuk meningkatkan pengeluaran benih kelapa menjelang 2035 bagi memenuhi permintaan santan, terutamanya menjelang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya.
Selain itu, mempertingkatkan pengeluaran benih ikan Bawal Emas secara domestik, susulan permintaan tinggi dalam kalangan pengguna tempatan.
Mohamad turut memaklumkan, usaha penanaman jagung bijian juga akan dipergiatkan bagi menyokong dan melancarkan industri penternakan haiwan ruminan dalam negara.
Langkah-langkah itu, jelas beliau, adalah sebahagian daripada inisiatif bersepadu kerajaan bagi memastikan keterjaminan makanan negara dapat dicapai secara mampan dan berdaya saing.