fb fb fb fb fb

Pahang catat kutipan hasil lebih RM1 bilion empat tahun berturut-turut

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/BERNAMA

KUANTAN, 6 November- Pahang berjaya mencatat pungutan hasil lebih RM1 bilion pada Khamis (6 November), melepasi sasaran untuk empat tahun berturut-turut.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata lebihan kos perbelanjaan negeri akan dimanfaati rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan.

"Pada hari ini, saya boleh mengesahkan bahawa kerajaan negeri telah mencapai sasaran kutipan hasil melebihi RM1 bilion. Memandangkan tahun fiskal masih berbaki sebulan lebih (sehingga hujung November/Disember), kami menjangkakan kutipan hasil akan melebihi angka tersebut," kata Datuk Seri Wan Rosdy.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Visit Malaysia 2026-Pahang First di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah, di sini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Dalam pada itu, sektor pelancongan Pahang menunjukkan perkembangan positif dan memberangsangkan.

Setakat Januari hingga September tahun ini, Pahang telah menerima seramai 11.4 juta pelawat, berbanding 13.74 juta pelawat tahun lalu.

Ini sekali gus mencatatkan jumlah pelancong di negeri itu telah mencapai lebih 83 peratus daripada jumlah keseluruhan tahun lalu.

"Kehadiran mereka akan membawa limpahan ekonomi kepada pelbagai pihak. Selain memberi manfaat kepada kerajaan, ia turut menjana pendapatan untuk pengusaha hotel, kedai makanan, dan restoran. Secara keseluruhan, dianggarkan perbelanjaan mereka mencecah RM13.4 bilion," jelas Datuk Seri Wan Rosdy.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM