GERIK, 9 Jun – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi dikatakan dipandu laju.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata berkata pasukan khas itu akan meneliti semua aspek siasatan termasuk rekod pemandu, sejarah kesalahan lalu lintas dan keadaan fizikal kenderaan yang terbabit.
“Kita akan menubuhkan satu pasukan khas teknikal untuk membantu pegawai penyiasat dalam melengkapkan siasatan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa di Hospital Gerik, hari ini.
Menurut beliau, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.
Antaranya agensi MyROS, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), PUSPAKOM, Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya (KKR), kerajaan negeri serta Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang akan membantu melalui penggunaan dron.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menularkan sebarang maklumat tidak sahih berkaitan kejadian bagi mengelakkan kekeliruan dan gangguan terhadap proses siasatan.
“Jika ada sebarang maklumat berhubung kejadian ini, tampil kepada pihak polis atau pegawai penyiasat. Jangan hanya tular di media sosial kerana ia boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Terdahulu, RTM melaporkan sebuah bas persiaran yang disewa khas membawa 44 penumpang termasuk 42 pelajar UPSI terbalik selepas melanggar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat, dekat Banun, Hulu Perak awal pagi tadi.
Seramai 13 mangsa disahkan maut di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Gerik, menjadikan jumlah korban seramai 15 orang.
Dilaporkan, 31 mangsa dari bas mengalami kecederaan, empat lagi penumpang dari kereta MPV turut cedera, termasuk seorang yang patah tangan.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan berhemah ketika memandu, memandangkan hari ini merupakan hari terakhir Ops Lancar sempena Aidiladha yang bermula pada 6 Jun lalu.