SUBANG, 6 November – Kumpulan pertama kontinjen Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 yang selesai menjalankan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) selamat tiba di tanah air hari ini.
Seramai 210 anggota, terdiri daripada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), tiba melalui Pangkalan Udara Subang sekitar pukul 6 petang.
Ketibaan mereka disambut oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Zahani Zainal Abidin TUDM, bersama pegawai kanan ATM serta ahli keluarga anggota yang menanti sejak awal pagi dengan penuh rasa bangga dan syukur.
Menurut Zahani, tahap profesionalisme dan moral anggota kekal tinggi meskipun mereka bertugas dalam persekitaran yang dinamik serta penuh cabaran.
Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Zahani Zainal Abidin TUDM/RTM
“Maklum balas daripada komander di sana menunjukkan tahap kesiapsiagaan operasi kita amat tinggi. Profesionalisme anggota MALBATT juga berada pada tahap terbaik. “Pada awalnya, ada keluarga yang risau memandangkan kontinjen sebelum ini, MALBATT 850-11, berdepan dengan permulaan perang antara Israel dan Lubnan pada Oktober 2023.
"Namun, apabila melihat tahap profesionalisme dan sistem sokongan yang ada, keyakinan keluarga semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama kontinjen MALBATT 850-12, di sini.
Beliau turut menegaskan sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam menjaga kekuatan mental anggota, terutama ketika mereka berkhidmat jauh dari tanah air dalam tempoh yang panjang.
Kepulangan kontinjen ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong operasi pengaman global di bawah naungan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Kontinjen asal MALBATT 850-12 berjumlah 854 anggota, dan kepulangan hari ini merupakan sebahagian daripada proses pulang secara berperingkat selepas penugasan selama setahun di selatan Lubnan.
Pada Oktober tahun lalu, enam anggota MALBATT 850-12 cedera selepas terkena serpihan letupan akibat serangan Israel berhampiran kawasan penugasan mereka.
Namun, semua anggota terbabit telah menerima rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.