Satu abad FORTRAIN: Perkukuh latihan perhutanan berteraskan teknologi

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup/RTM

KEPONG, 2 April -Seramai 6,369 graduan dalam bidang perhutanan melibatkan skim Renjer Hutan dan Pengawas Hutan berjaya dilahirkan sepanjang 100 tahun penubuhan Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Meraikan satu abad FORTRAIN dan perasmian asrama baharu sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan institusi kepada pemartabatan khazanah alam.
  • FORTRAIN kekal pusat kecemerlangan perhutanan yang melatih pakar dan rimbawan menyokong usaha pemeliharaan hutan negara.
  • Latihan diperkasa dengan teknologi moden seperti AI, GIS dan penggunaan dron untuk pemantauan dan menangani ancaman pemburuan serta pembalakan haram.
  • Kepentingan kebijaksanaan manusia digabungkan dengan teknologi pintar bagi memastikan integriti, keputusan tepat dan kelestarian hutan generasi akan datang.

Sempena sambutan satu abad penubuhannya, institusi itu meraikan ulang tahun ke-100 selain merasmikan bangunan asrama baharu FORTRAIN.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menyifatkan, sambutan tersebut sebagai simbol penghargaan terhadap perjalanan panjang institusi itu dalam memartabatkan khazanah alam negara.

Pada masa sama, katanya, FORTRAIN kekal sebagai lambang keteguhan sebuah pusat kecemerlangan ilmu perhutanan yang melatih pakar dan rimbawan bagi menyokong usaha pemeliharaan kelestarian hutan negara.

“Harapan saya adalah agar kita melihat institusi ini sebagai satu-satunya institut latihan perhutanan yang unggul di negara kita. Oleh itu, FORTRAIN perlu terus berkembang agar kekal relevan dan menjadi institut latihan utama negara untuk seratus tahun akan datang.

“Perkembangan ini hendaklah disertai dengan usaha melahirkan lebih ramai graduan berkualiti yang mampu menjadi benteng pertahanan dalam memelihara kawasan perhutanan serta khazanah alam negara, ” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Beliau turut berbangga dengan kualiti latihan di FORTRAIN yang sentiasa berevolusi, ditambah baik dan diperkasakan selari dengan perkembangan teknologi perhutanan moden, khususnya dalam aspek pemantauan hutan.

Menurutnya, keupayaan FORTRAIN mengimbangi ilmu tradisional perhutanan dengan teknologi digital masa kini merupakan pencapaian signifikan, terutama dalam menangani ancaman seperti pemburuan dan pembalakan haram yang semakin canggih.

“Tambahan pula, pada masa kini kita mempunyai pelbagai teknologi moden. Justeru, bagi memastikan para pelatih kita sentiasa relevan, institut ini perlu menyediakan pendedahan kepada teknologi terkini. Sehubungan itu, kita telah memasukkan elemen seperti kecerdasan buatan (AI), Sistem Maklumat Geografi (GIS) serta penggunaan dron dalam latihan yang ditawarkan.

“Pada masa yang sama, para pelatih juga perlu mengaplikasikan teknologi moden ini dalam pelaksanaan tugas mereka, agar mereka bukan sahaja kekal relevan, malah mampu bersaing dalam menghadapi ancaman yang semakin canggih,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Arthur menegaskan kepentingan kebijaksanaan manusia dalam mengendalikan teknologi.

Katanya, gabungan teknologi pintar dan ketajaman pemikiran manusia merupakan benteng pertahanan sebenar negara, sekali gus melahirkan warga perhutanan berintegriti tinggi, berani membuat keputusan tepat dan sentiasa berpandangan jauh.

Sinergi tersebut akan memastikan amanah sebagai rimbawan dapat dilaksanakan dengan baik dalam memelihara kelestarian khazanah alam untuk generasi akan datang.