PUTRAJAYA, 6 November – Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited memperkukuh kebajikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk melalui usaha menaik taraf dan membina lebih banyak kemudahan perumahan sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat bakti pasukan keselamatan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tumpuan terhadap aspek kebajikan itu turut dizahirkan melalui pelaksanaan Program Wira Madani, yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda pengiktirafan kepada pasukan beruniform bawah KDN.
“Objektifnya adalah untuk menunjukkan penghargaan Perdana Menteri kepada pasukan beruniform dan penguat kuasa ini sebagai pengiktirafan terhadap kerja keras mereka dalam memastikan keamanan negara tercapai.
“Program ini adalah inisiatif untuk mengiktiraf sumbangan pasukan penguat kuasa termasuk PDRM, RELA dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Wira Madani 2025 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, pelbagai bentuk bantuan kebajikan disalurkan menerusi program berkenaan termasuk bantuan awal persekolahan kepada 500 anak anggota polis, bantuan pembaikan rumah kepada anggota RELA, serta inisiatif kebajikan khusus bagi APMM.
“Peruntukan telah disalurkan oleh Perdana Menteri untuk agensi di bawah KDN melaksanakan aktiviti kebajikan masing-masing mengikut keperluan. Misalnya RELA menyalurkan bantuan pembaikan rumah anggota mereka, manakala PDRM memberi bantuan awal persekolahan kepada anak-anak anggota,” katanya.
Tambah beliau, selepas program di Putrajaya, Jelajah Wira Madani akan diteruskan ke Melaka bagi menutup tirai program tahun ini, manakala pelaksanaan bagi tahun hadapan akan diperluaskan ke lebih banyak negeri.
“Bagi tahun depan, kita harap ia dapat diteruskan dengan lebih menyeluruh dan menyemarakkan semangat Wira Madani sebagai tanda penghargaan kepada wira negara,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat, Saifuddin memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) esok bagi mendapatkan taklimat menyeluruh sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
“Kes ini adalah insiden lama, dan selepas keputusan mahkamah, saya ingin mendapat gambaran lengkap terlebih dahulu termasuk berhubung arahan mahkamah kepada polis untuk membuka semula siasatan,” katanya sambil menjelaskan AGC telah memutuskan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.