KUALA LUMPUR, 6 November – Seramai 84,500 pesakit di seluruh negara telah menerima manfaat daripada Kumpulan Wang Amanah Tabung Bantuan Perubatan (TBP) dengan jumlah kelulusan bernilai RM793.7 juta sejak tahun 2005 hingga kini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata jumlah itu termasuk lebih 3,800 permohonan yang telah diluluskan dengan nilai kelulusan RM56.2 juta setakat Oktober lalu.
“Tabung ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan bagi membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos rawatan, peralatan perubatan, peralatan rehabilitasi dan ubat-ubatan berdasarkan syarat-syarat tertentu.
“Antara disiplin perubatan yang disenaraikan di bawah tabung ini termasuk Kardiologi, Ortopedik, Respiratori, Surgeri, Rehabilitasi dan lain-lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menjelaskan mengenai polisi Insurans Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang diperkenalkan bagi memastikan perlindungan kesihatan lebih mampan serta menyeluruh untuk rakyat.
“Pengenalan produk asas MHIT membolehkan pemegang polisi baharu dan sedia ada mempunyai alternatif lebih mampan tanpa bergantung kepada langkah interim bersifat sementara. Produk asas MHIT ini akan menyediakan perlindungan kewangan terhadap kos kemasukan ke hospital dengan tahap ketelusan yang lebih tinggi untuk semua pihak,” katanya.
Tambahnya, kerajaan bakal memperkenalkan struktur produk asas MHIT sebagai produk “stand-alone”, yang tidak terikat dengan prestasi pelaburan.
“Status pelan perubatan yang dijual sebagai rider kepada polisi berkaitan pelaburan juga sedang dikaji semula oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” jelasnya.
Terdahulu, sebanyak 20 Ahli Parlimen membahaskan RUU Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat sebelum ia diluluskan dengan lebih banyak suara bersetuju.