KUALA LUMPUR, 6 November - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah mengambil tindakan tegas dengan menangguh pemberian subsidi diesel dan menyenarai hitam 119 buah kapal serta bot nelayan setakat Ogos lepas dalam usaha membendung ketirisan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sejak tahun 2019, kerajaan telah menghadkan kuota diesel bersubsidi bagi sektor nelayan kepada 70 juta liter sebulan berbanding 80 juta liter sebulan pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, langkah itu membolehkan nelayan pesisir pantai serta mereka yang beroperasi di Zon A, B dan C menikmati diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter bagi menampung sebahagian kos operasi mereka.
"Bagaimanapun, nelayan laut dalam Zon C2 tidak layak mendapat diesel bersubsidi memandangkan nelayan Zon C2 merupakan nelayan komersial yang lazimnya mempunyai kekuatan kewangan yang kukuh.
"Ia juga merupakan satu usaha kerajaan untuk menangani isu ketirisan minyak diesel terutama di perairan laut dalam," katanya dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2026, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim yang membangkitkan isu ketirisan subsidi diesel.
Amir Hamzah berkata kerajaan melalui LKIM telah membangunkan aplikasi MyIsytihar sejak tahun 2024 sebagai langkah kawalan bagi memastikan nelayan yang menerima subsidi diesel mengisytiharkan hasil tangkapan laut kepada LKIM.
Beliau berkata, pelbagai operasi penguatkuasaan terus diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan menerusi operasi bersepadu bagi mempertingkat kawalan sempadan serta mengekang aktiviti penyeludupan melalui laluan darat dan laut.
Menyentuh mengenai kesan subsidi diesel bersasar kepada pesawah dan petani, seramai 180,000 petani, penternak dan pekebun kecil telah menerima manfaat Bantuan Tunai Budi Agrikomoditi dengan jumlah bayaran sebanyak RM350 juta setakat 30 September 2025.
Bantuan tersebut merangkumi sumbangan sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun kepada petani, penternak dan pekebun kecil yang berdaftar dengan kementerian berkaitan.#