MELAKA, 6 November- Pesara perkhidmatan awam, Azhar Hashim tidak menyangka menjadi antara penerima lawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz di kediamannya di Kampung (Kg) Pulau Kelapa, di sini.
Kunjungan tersebut sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kebajikan pesara yang pernah berkhidmat.
"Kami sangat berbesar hati atas sumbangan kerusi roda elektrik ini. Harga kerusi roda tersebut, yang mencecah antara RM2,000 hingga RM3,000, melibatkan kos yang tinggi. Saya amat bersyukur dengan keprihatinan pihak penderma dan berharap agar usaha murni sebegini dapat diteruskan kepada ahli-ahli pesara yang lain," kata Azhar kepada pemberita, hari ini.
Dalam pada itu, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan menegaskan kerajaan sentiasa menghargai jasa pesara dalam menjadi tunjang utama kelancaran pentadbiran kerajaan.
"Kita tidak pernah melupakan pesara. Mereka sentiasa berada dalam perhatian kami. Ini adalah bagi memastikan kehidupan mereka selepas persaraan berada dalam keadaan baik dan tidak menghadapi sebarang isu," kata Tan Sri Wan Ahmad Dahlan kepada pemberita.
Lawatan berkenaan antara inisiatif kerajaan mendekati pesara di seluruh negara sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka.