SHAH ALAM, 6 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang menyiapkan kertas cadangan berhubung mekanisme pelaksanaan insentif gula secara bersasar sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata beberapa cadangan telah dimasukkan dalam kertas berkenaan dan masih menunggu proses pembentangan di peringkat Kabinet.
"Berkenaan dengan insentif gula, pihak kementerian sedang menyiapkan kertas Mesyuarat Pengurusan Menteri (MGM). Walaupun belum diluluskan, kertas kerja ini mengandungi beberapa langkah pengurangan yang akan dikemukakan kepada Kabinet," kata Datuk Dr. Fuziah kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui dalam satu sidang media di pasar raya Lotus Shah Alam.
Sementara itu, beliau turut menyasarkan 10 juta unit simpanan stok dapat dicapai melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun hadapan.
KBBM berjaya mencatat pertumbuhan positif apabila nilai jualan keseluruhan melebihi RM7.4 bilion direkodkan bagi tahun 2024, meningkat 13.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah unit simpanan stok (SKU) turut meningkat lebih enam kali ganda iaitu melebihi 6.3 juta pada 2024 berbanding 1.003 juta pada tahun sebelumnya.
Ini membuktikan akses pasaran produk tempatan semakin meluas, seiring usaha KPDN memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta memperkukuh rantaian pengedaran dalam ekosistem runcit moden dan platform digital.
KBBM akan terus dipergiat selaras dengan pengumuman peruntukan RM20 juta menerusi Belanjawan 2026.