fb fb fb fb fb

Isu miskin bandar dan kebocoran zakat, cabaran besar PPZ-MAIWP

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 November- Isu miskin bandar dan kebocoran kutipan zakat antara cabaran utama yang masih membelenggu Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hingga kini dalam usaha memperkukuh kutipan serta agihan zakat di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, pada tahun 2024, PPZ-MAIWP merekodkan agihan sebanyak RM1.18 bilion berbanding kutipan yang diperoleh RM1.035 bilion, menunjukkan kekurangan dana bagi menampung keperluan asnaf di Wilayah Persekutuan.

"Gaji RM5,000 di bandar seperti Kuala Lumpur tidak sama nilainya dengan gaji yang sama di negeri lain seperti Perlis atau Kedah, terutamanya disebabkan oleh kos sara hidup yang tinggi, termasuk sewa rumah yang boleh mencecah RM1,500 ke atas.

Justeru, kami menyeru agar pembayar zakat yang bekerja di Wilayah Persekutuan menunaikan kewajipan mereka di sini. Ini kerana wang zakat tersebut adalah hak asnaf di Wilayah Persekutuan. Kebocoran pembayaran zakat ke luar wilayah ini perlu ditangani bagi meringankan beban Majlis Agama Islam dalam menyalurkan bantuan kepada asnaf," kata Datuk Abdul Hakim kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Mesra Majikan 2025 di ibu negara.

Tambahnya, golongan miskin bandar semakin meningkat, khususnya mereka yang berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan, berikutan menanggung kos sara hidup yang tinggi di ibu negara.

PPZ-MAIWP berharap lebih ramai umat Islam yang bekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menunaikan zakat di Wilayah Persekutuan bagi memastikan kebajikan asnaf di kawasan ini terus terbela.

Dalam pada masa sama, sebanyak 25 majikan terpilih merangkumi tiga kategori utama iaitu Anugerah Khas Zakat, Anugerah Majikan Terbaik Zakat, dan Anugerah Majikan Terbaik Wakaf.

Anugerah baharu iaitu Majikan Terbaik Wakaf turut diperkenal sebagai tanda penghargaan kepada syarikat yang menyokong pelaksanaan projek wakaf PPZ-MAIWP.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM