fb fb fb fb fb

Pelaburan Johor cecah RM80 bilion suku ketiga, optimis capai RM100 bilion

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi/BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 6 November- Johor kini berada pada landasan terbaik untuk merekodkan sekurang-kurangnya RM80 bilion pelaburan diluluskan, pada suku ketiga tahun ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata prestasi itu sejajar sasaran menjangkaui RM100 bilion nilai pelaburan, menjelang akhir tahun.

Kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Zon Kewangan Khas Forest City menjadi pemangkin utama daya tarikan pelabur global.

"Ia satu pencapaian yang amat membanggakan, namun bukan sesuatu yang mudah dicapai. Semua pihak telah bekerja keras melibatkan agensi Persekutuan dan Negeri, bersama sektor korporat serta institusi lain bagi memastikan Johor mampu memenuhi jangkaan yang disandarkan," kata Datuk Onn Hafiz, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Cawangan Maybank Forest City dan Majlis Pengiktirafan Kerjasama JS-SEZ, di sini.

Tegasnya, kerajaan negeri komited memperkukuh kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi melancarkan urusan pelaburan di Johor. 

Setakat separuh pertama tahun ini, Johor mencatat RM56 bilion pelaburan diluluskan, tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM