fb fb fb fb fb

Hubungan dagang Malaysia-China kukuh, ACCCIM terus cemerlang di CIIE

Foto ACCCIM

SHANGHAI, 6 November- Hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan China semakin kukuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ia terbukti menerusi menerusi penyertaan Malaysia dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-8 melalui Pavilion Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

“Kehadiran Malaysia melalui penyertaan ACCCIM di CIIE amat membanggakan, kerana Pavilion ini merupakan satu-satunya penyertaan Malaysia yang konsisten selama lapan tahun berturut-turut, malah diiktiraf sebagai antara 30 Pavilion paling berpengaruh dalam edisi ke-7 tahun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengucapkan tahniah kepada ACCCIM, dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, atas usaha gigih mempromosi produk dan jenama Malaysia di pasaran China.

Berdasarkan rekod tahun ini, pavilion ACCCIM menumpukan kepada produk makanan dan pertanian (Food & Agricultural Products) dengan 29 ruang pameran melibatkan 83 syarikat pempamer dan 80 delegasi perniagaan, menjadikan keseluruhan penyertaan 169 peserta dari Malaysia.

Penyertaan tersebut membuka peluang luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, khususnya dalam sektor halal, agro-makanan, teknologi makanan dan produk premium desa, untuk menembusi pasaran eksport berimpak tinggi.

Ia juga mencerminkan kekuatan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan China.

“Usaha ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekosistem eksport luar bandar melalui produk berkualiti tinggi.

“Ia selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 dan Agenda Pembandaran Luar Bandar bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menggalakkan penyertaan usahawan desa dalam rantaian global,” tambahnya.

Sementara itu, dalam lawatan kerja rasmi yang memasuki hari ketiga, Timbalan Perdana Menteri turut merasmikan pembukaan Pejabat Cawangan China Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pavilion PKFZ bersempena dengan CIIE 2025.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan langkah strategik Malaysia dalam memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan logistik antara kedua-dua negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk utama dan hab maritim serantau yang berdaya saing di peringkat global.

“Langkah ini juga memperlihatkan komitmen berterusan PKFZ untuk mengembangkan kerjasama rentas sempadan dalam logistik dan pelabuhan."

"Ia turut memudahkan aliran perdagangan dua hala Malaysia–China, dan meningkatkan transformasi digital serta kelestarian sektor logistik di rantau ini," jelasnya.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yakin usaha ACCCIM dan PKFZ itu bukan sahaja memperkukuh jenama Malaysia di pasaran global, tetapi juga berupaya menarik pelaburanbernilai tinggi, memperluas rantaian dan hab logistik serantau.

Usaha itu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar, selaras dengan visi Kerajaan MADANI dan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM