SHANGHAI, 6 November - Usahawan yang menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025 perlu memanfaatkan peluang yang diberikan untuk memperkukuh jaringan perniagaan, termasuk membuka ruang pasaran baharu di rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha berterusan itu akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama industri halal dunia, sekali gus menjadikan standard "Halal Malaysia" terus diyakini dan dihormati di peringkat global.
"Saya amat berbangga melihat jenama-jenama Malaysia berdiri megah di pentas dunia, membawa bersama nama baik negara melalui mutu produk halal yang diyakini dan berdaya saing tinggi," katanya.
Terdahulu, selepas merasmikan MIHAS@Shanghai 2025, Timbalan Perdana Menteri meluangkan masa dan tidak melepaskan peluang untuk melawat reruai pameran yang menampilkan pelbagai produk halal tempatan, termasuk hasil usaha usahawan Bumiputera.
Di sebalik jadual yang padat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut berkesempatan meluangkan masa berinteraksi dengan wakil kementerian, agensi, negeri serta syarikat-syarikat bumiputera yang terlibat dalam MIHAS kali ini.
"Setiap produk dan inovasi yang dipamerkan memperlihatkan potensi besar Malaysia untuk terus menjadi peneraju industri halal global," katanya.