fb fb fb fb fb

MotoGP Malaysia 2024 jana pulangan ekonomi RM694 juta

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/RTM

KUALA LUMPUR, 6 November – Penganjuran MotoGP Malaysia 2024 mencatat impak ekonomi yang signifikan apabila menjana pulangan dianggarkan mencecah RM694 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus membuktikan potensi besar sektor sukan permotoran dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata berdasarkan unjuran tersebut, kerajaan memperoleh pulangan atas pelaburan (ROI) sekitar 6.3 kali ganda bagi setiap RM1 yang dilaburkan dalam penganjuran kejohanan berprestij itu.

“Dianggarkan juga penganjuran MotoGP menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan. Acara ini turut disaksikan oleh pelancong dalam dan luar negara melalui siaran langsung yang diadakan,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah turut memaklumkan kerajaan kini telah mengambil alih operasi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai langkah memperkukuh pembangunan industri permotoran serta memposisikan Malaysia sebagai hab sukan permotoran antarabangsa.

Beliau berkata, tahap penggunaan Litar SIC kini melebihi 75 peratus kapasiti, dengan penganjuran pelbagai kejohanan serantau termasuk Asia Le Mans, GT World Challenge Asia dan Asia Road Racing Championship.

“Kerajaan akan terus meneliti langkah bagi mengoptimumkan fasiliti SIC supaya ia dapat menjana lebih banyak pulangan kepada ekonomi negara,” katanya.

Langkah itu sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memperluas ekonomi sukan (sports economy) sebagai salah satu sektor pertumbuhan baharu negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN