fb fb fb fb fb

Industri semikonduktor Malaysia kini dipandang dunia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat ruang belajar Advance Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) pada Majlis Peluncuran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Coplace 9 Cyberjaya /BERNAMA

CYBERJAYA, 6 November- Malaysia kini melangkah ke fasa baharu dalam industri semikonduktor global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, inilah masa untuk negara membuktikan kemampuan, bukan sekadar merancang, tetapi melaksanakan dengan pantas dan cekap.

Beliau menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk memperkukuh ekosistem semikonduktor dan membina tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.

Malaysia telah mendapat perhatian besar pelabur antarabangsa, hasil kestabilan politik, dasar ekonomi yang jelas dan kecekapan pelaksanaan oleh kerajaan serta agensi
berkaitan.

Tambah beliau, kejayaan IC Design Park 2 membuktikan negara berada pada landasan meyakinkan, dan tidak mustahil fasa ketiga projek ini iaitu, "IC Design Park 3" akan direalisasikan kelak.

"Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) amat besar. Sekitar 25 peratus daripada keperluan E&E dan semikonduktor negara itu datang dari Malaysia dengan nilai hampir RM200 bilion, melibatkan ribuan rantaian bekalan serta puluhan ribu pekerja. Tetapi dalam masa yang sama kita ada dasar yang disebut centrality (kepusatan) ASEAN. Maka kita berkawan dengan negara China, kerana China mempunyai potensi perkembangan yang sangat pantas,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya.

Beliau menyeru golongan muda agar memanfaatkan peluang latihan, yang disediakan kerana masa depan industri ini bakal ditentukan oleh golongan berkenaan.

Datuk Seri Anwar mengingatkan agar budaya selesa tidak menjadi penghalang kepada kemajuan.

Sebaliknya, setiap peluang mesti diisi dengan tindakan segera, disiplin, dan daya cipta, supaya Malaysia terus ke hadapan sebagai negara berdaya saing dalam ekonomi digital dan semikonduktor dunia.

Majlis pelancaran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 menjadi bukti kesungguhan kerajaan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor serantau sekaligus menjadikan sektor teknologi tinggi sebagai peneraju ekonomi masa depan negara.

SITI NOORAIN ABDULLAH