fb fb fb fb fb

Johor umum rebat 15 peratus, susulan gangguan bekalan air

Foto Facebook Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 6 November - Kerajaan Johor mengumumkan rebat 15 peratus daripada bil air bulan Oktober, bagi meringankan beban pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air selama lima hari di empat daerah di negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi Facebook memaklumkan, diskaun itu merangkumi 292,158 akaun pengguna domestik dan bukan domestik termasuk rumah kediaman, premis perniagaan serta rumah ibadat.

"Saya menyedari bahawa bantuan ini mungkin tidak setimpal dengan kesusahan yang telah dialami, namun saya berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberikan kelegaan kepada mereka yang terjejas. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri akan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan agar insiden seperti ini tidak berulang.

"Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan petugas barisan hadapan termasuk Ranhill SAJ yang telah bekerja tanpa henti selama lima hari berturut-turut, serta kepada rakyat Johor yang telah menunjukkan tahap kesabaran, kerjasama dan semangat kebersamaan yang tinggi dalam menghadapi situasi ini," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu beliau turut memohon maaf kepada seluruh Bangsa Johor yang terkesan akibat kejadian itu.

"Gangguan selama lima hari bukan perkara kecil, ia menjejaskan kelangsungan hidup rakyat, mengganggu aktiviti keluarga, operasi sekolah, hospital dan premis perniagaan.

"Kerajaan Negeri amat memahami keresahan rakyat dan memandang serius setiap aduan serta cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh gangguan tersebut," tambah kenyataan itu.

Bagaimanapun pasukan lapangan masih menjalankan pemeriksaan menyeluruh di beberapa lokasi bagi memastikan kestabilan tekanan dan aliran bekalan air.

Fokus utama kini tertumpu kepada penyelesaian isu airlock, tekanan rendah serta bekalan tidak stabil (intermittent supply), bagi memastikan bekalan air yang diterima rakyat benar-benar stabil dan berkualiti tinggi.

Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sistem bekalan air negeri Johor, memastikan hak rakyat sentiasa terpelihara, dan kesejahteraan Bangsa Johor terus terjamin.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI