SEREMBAN, 6 November - Lebih 1,700 bakat dan 33 syarikat menyertai program Akademi Dalam Industri (ADI) anjuran Kerajaan Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri sebagai peneraju produktiviti dalam memperkukuh tenaga kerja masa hadapan.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif strategik yang diterajui oleh Perbadanan Produktivi Malaysia (MPC) ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir dan purata 12.7 tahun tempoh persekolahan menjelang 2030.
"Usaha ini juga menyokong matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk meningkatkan pertumbuhan produktiviti pekerja sebanyak 3.6 peratus setahun serta nisbah pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 40 peratus menjelang tahun 2030, selaras dengan pelaksanaan Dasar Upah Progresif," katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Peringkat Negeri Sembilan 2025 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.
Mengenai karnival yang julung kali diadakan itu, Datuk Seri Aminuddin berkata, penganjurannya amat signifikan dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang kemahiran, sekali gus membantu mereka memilih laluan kerjaya yang sesuai dan menjamin masa hadapan.
Beliau turut menyarankan pempamer agar melakukan pembaharuan dalam persembahan mereka agar lebih menarik dan releven dengan perkembangan teknologi semasa.