KUALA LUMPUR, 6 November - Media memainkan peranan penting dalam membentuk kefahaman rakyat terhadap agenda ASEAN dan menjadi jambatan antara dasar-dasar serantau dengan kehidupan masyarakat.
Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN–Malaysia, Datuk Zanariah Zainal Abidin menegaskan, peranan media bukan sekadar menyebarkan maklumat, tetapi turut berfungsi secara proaktif dalam memupuk kesedaran, membina kepercayaan dan menangkis maklumat palsu yang boleh menjejaskan perpaduan serantau.
Kandungan dihasilkan media berperanan sebagai jambatan penting menghubungkan hasil dasar ASEAN dengan rakyat yang menjadi tumpuan utama komuniti ini.
"Malaysia bersedia untuk memudahkan dialog berterusan serta memanfaatkan potensi media bagi membawa manfaat kepada rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Forum Media ASEAN ke-9 di ibu negara hari ini dengan penyertaan wakil media dari semua negara anggota ASEAN dan rakan strategik antarabangsa.
Datuk Zanariah turut menekankan keperluan memperkukuh keterangkuman digital agar capaian media lebih luas kepada komuniti di kawasan luar bandar serta wilayah terpencil.
Naratif yang dimainkan media mampu menjadi nadi sebenar kepada Komuniti ASEAN dan membina masyarakat lebih cakna, bersatu dan berdaya tahan.
Forum kali ini, menghimpunkan wakil media dari seluruh negara anggota ASEAN serta rakan dialog seperti Jerman dan Timor-Leste, merupakan platform penting bagi memperkukuh jaringan komunikasi serantau dan menyelaras peranan media dalam memacu komuniti lebih makmur dan bersatu.
Dalam konteks kepengerusian Malaysia tahun ini, Datuk Zanariah turut memaklumkan bahawa negara berjaya membawa ASEAN ke arah agenda inklusif dan mapan, berpaksikan nilai-nilai bersama yang kukuh walaupun berdepan cabaran geopolitik global.
Tahun ini menandakan babak baharu buat ASEAN dengan pelancaran ASEAN Community Vision 2045 yang digubal bagi membentuk komuniti serantau berdaya tahan, inovatif dan berpaksikan rakyat.
"ASEAN mesti terus menjadi suara rasional, mercu kepada dialog dan kerjasama, serta komuniti yang komited terhadap keamanan dan kemakmuran bersama," katanya.