SEPANG, 6 November - Sesi ujian percubaan Sistem Saringan Penumpang Terkini atau Advanced Passenger Screening System (APSS) sedang dijalankan sejak 31 Oktober lalu.
Ujian berkenaan membabitkan 10 syarikat penerbangan. Sistem ini bertujuan memperkukuh keselamatan sempadan negara dengan membolehkan maklumat pengembara disaring dan dinilai lebih awal.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Penguatkuasaan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sistem berkenaan membolehkan pihak berkuasa memberi amaran awal untuk melarang pengembara yang mempunyai sekatan daripada berlepas ke luar negara.
“Saya ambil peluang ini untuk menyarankan pengembara yang mempunyai apa jua sekatan untuk menyelesaikannya sebelum ke luar negara, kerana sistem ini nanti akan beri pemakluman awal kepada AKPS untuk melarang seseorang terbang ke luar negara,” kata beliau.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan bahawa sistem APSS merekodkan maklumat lengkap penumpang seperti nama, nombor pasport, tempat duduk dan tempahan makanan lebih awal.
Kelebihan sistem berkenan ialah pihak berkuasa dapat memeriksa pematuhan pengembara sebelum mereka berlepas, sekali gus mengurangkan insiden Not To Land (NTL) dan memudahkan usaha mitigasi isu keselamatan.