PUTRAJAYA, 6 November- Sebanyak 5.5 juta saman tertunggak yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan lalu lintas di seluruh negara masih belum dijelaskan orang ramai setakat ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata daripada jumlah itu, lebih 1.3 juta saman dikeluarkan atas kesalahan melebihi had laju menerusi sistem Automated Awareness Safety System (AwAS).
"Di bawah JPJ P (22), iaitu kategori pelbagai kesalahan, sebanyak 3.685 juta saman telah dikeluarkan secara serta-merta. Selain itu, terdapat juga saman lain di bawah Notis 114 dan Notis 115. Secara keseluruhannya, terdapat kira-kira 5.5 juta saman tertunggak," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulan November dan Majlis Cahaya Kasih MADANI Kementerian Pengangkutan Tahun 2025 di sini, hari ini.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya memanfaatkan diskaun saman yang ditawarkan dan menjelaskan saman tertunggak sebelum 30 Disember tahun ini.
"Jadi, saya ingin memberikan peringatan bahawa tempoh yang kita berikan ini merupakan tempoh kelonggaran. Kita memberikan masa selama dua bulan kepada orang ramai untuk menyelesaikan semua saman tertunggak, dengan tawaran diskaun sebanyak 50%. Ini bermaksud mereka hanya perlu membayar separuh daripada jumlah kompaun asal yang dikenakan.
"Selepas 1 Januari 2026, sekiranya masih terdapat saman tertunggak yang belum dijelaskan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) pemilik kenderaan akan disenarai hitam. Ini bermakna mereka tidak boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka dan ini akan diintegrasikan dalam sistem MySikap", katanya lagi.
Tambahnya, bermula 1 Januari ini, kadar pembayaran saman akan ditentukan berdasarkan tempoh pembayaran.
Mereka yang menyelesaikan saman dalam tempoh 15 hari pertama hanya perlu membayar 50 peratus daripada jumlah kompaun.
Sementara itu, pembayaran yang dibuat selepas 30 hari akan dikenakan kadar penuh.