KUALA LUMPUR, 6 November - Pelan Tindakan Jawatankuasa Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2026–2030 bakal memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai destinasi pelaburan bertanggungjawab dan berorientasikan jangka panjang.
Ini sejajar dengan matlamat rantau ini untuk memperkukuh integriti dan kemampanan pasaran modal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan tindakan ACMF dikemas kini serta Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Lestari mencerminkan komitmen kolektif rantau dalam menetapkan piawaian kemampanan yang berwibawa dan sejajar dengan jangkaan global.
"Pasaran modal yang berfungsi dengan baik adalah penting untuk menggerakkan sumber, memperuntukkan modal dengan cekap dan menyokong pertumbuhan. Ia juga mesti menegakkan integriti, akauntabiliti dan kepercayaan,"
"Kita mesti memastikan bahawa modal menyokong sektor produktif,memperkasakan perniagaan kecil, mempercepatkan peralihan iklimdan memperkukuh daya tahan." katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Persidangan Antarabangsa ACMF yang diadakan di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti hari ini.
Menurutnya, sistem kewangan serantau perlu berfungsi untuk memenuhi keperluan sebenar rakyat khususnya dalam menjana peluang pekerjaan berkualiti, memperluas akses ekonomi, dan memupuk inovasi dalam masyarakat.
Jelas Perdana Menteri, pematuhan terhadap nilai-nilai seperti ketelusan, akauntabiliti dan prinsip kemampanan penting bagi menarik modal berkualiti tinggi serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Pelan ACMF 2026–2030 menyediakan hala tuju komprehensif bagi memperkukuh pasaran modal serantau untuk tempoh lima tahun akan datang.
Lima teras utama pelan itu merangkumi kemampanan, penyertaan kewangan, keterhubungan serantau, transformasi digital serta penambahbaikan terhadap struktur institusi ACMF.
Ia sekaligus menjadi asas penting ke arah mewujudkan ekosistem pasaran modal ASEAN yang lebih bersepadu, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.