KUALA LUMPUR, 6 November - Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan langkah-langkah interim bagi membantu pemegang polisi yang terkesan dengan perubahan premium produk insurans perubatan dan kesihatan (MHIT) akibat inflasi kos perubatan dalam tempoh tiga tahun.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menegaskan, mana-mana pengendali insurans atau takaful yang gagal mematuhi langkah tersebut bakal berdepan tindakan.
Menerusi langkah kawalan itu semua pengendali insurans dan takaful (ITO) perlu mengemukakan maklumat lengkap kepada BNM untuk semakan sebelum sebarang pelarasan semula premium dilakukan.
"Bank Negara Malaysia (BNM) tidak membenarkan pihak ITO untuk melaksanakan sebarang pelarasan semula premium jika cadangan tersebut tidak mematuhi langkah interim sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berhubung tindakan BNM ke atas syarikat-syarikat insurans yang didapati melanggar interim measures.
Sasaran awal bagi langkah interim adalah memastikan 80 peratus pemegang polisi tidak mengalami pelarasan premium melebihi 10 peratus disebabkan kos inflasi perubatan, namun data terkini menunjukkan lebih 90 peratus hanya mengalami pelarasan kurang daripada 10 peratus pada tahun pertama.
Bagi sebilangan kecil pemegang polisi yang terjejas dengan kenaikan lebih tinggi, ia melibatkan produk lama yang belum disemak semula harganya, namun pilihan pelan alternatif lebih mampu milik telah disediakan pengendali insurans.
Dalam pada itu, pemegang polisi yang tidak berpuas hati dengan pelarasan premium boleh mengemukakan aduan kepada BNM Link untuk diselesaikan secara kes demi kes.