KUALA LUMPUR, 6 November - Tindakan segera telah diambil bagi memastikan isu kenaikan bot laju khususnya laluan Menumbuk ke Labuan tidak memberi kesan ketara kepada penduduk setempat.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata pihak berkuasa sedang meneliti langkah terbaik untuk memastikan kadar tambang kekal munasabah tanpa membebankan pengguna.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menyiasat isu surcaj bahan api tersebut.
Siasatan menjurus kepada penentuan sama ada pengusaha bot laju tersebut menerima subsidi petrol atau tidak dalam kewajaran menaikkan tambang berkenaan.
"Saya ada berhubung dengan Menteri KPDN dan mengusulkan kerjasama rentas kementerian antara KPDN. KPDN akan mempercepatkan siasatan mengenai perkara ini.
"Pada masa sama, ada pasukan petugas Labuan yang telah ditubuhkan. Pasukan ini diminta untuk mengendalikan isu ini dan melakukan perbincangan antara persatuan, Perbadanan Labuan dan penduduk tempatan," beliau menjelaskan perkara itu ketika sesi soal jawab tambahan oleh Ahli Parlimen Jimmy Puah Wee Tse di Dewan Rakyat.
Mengenai agihan kerja bagi Festival Kesenian Borneo (BAF 2025), Datuk Seri Dr. Zaliha berkata semua kontraktor terlibat bagi program tersebut terdiri daripada tenaga kerja tempatan, kecuali kerja-kerja yang memerlukan kepakaran yang tidak ada di Labuan.
Perkara itu juga telah disahkan oleh Perbadanan Labuan namun pelantikan kontraktor tersebut tetap perlu melalui proses perolehan kerajaan yang sah dan tidak diagihkan secara terus.