fb fb fb fb fb

Kemalangan 4 kenderaan: Pemandu bebas alkohol, dadah

Foto ORANG AWAM

GEORGE TOWN, 7 November - Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake mengesahkan yang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Mount Erskine, di sini, pada Khamis bebas daripada pengaruh alkohol atau dadah.

Menurut beliau, pemeriksaan terhadap telefon bimbit pemandu SUV berkenaan juga tidak menemui sebarang rekod penggunaan ketika kejadian.

Terdahulu, tular rakaman kamera papan pemuka di media sosial yang memaparkan insiden membabitkan sebuah SUV dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta dua motosikal.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.10 pagi itu mengakibatkan dua penunggang motosikal cedera ringan manakala kedua-dua pemandu SUV dan MPV tidak mengalami kecederaan.

Menurut Superintenden Swee Sake, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada SUV terbabit yang memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah MPV dan dua motosikal.

"Siasatan lanjut mendapati pemandu SUV itu cuba mengelak sebuah motosikal lain yang masuk ke laluannya sebelum hilang kawalan dan terbabas ke arah bertentangan," jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan membahayakan.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN