fb fb fb fb fb

20 jurnal diiktiraf Scopus, keilmuan Malaysia terus diiktiraf

Foto RTM

PUTRAJAYA, 7 November - 20 jurnal akademik tempatan diindeks dalam pangkalan data Scopus tahun ini, meningkat ketara berbanding hanya dua pada 2022.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan, peningkatan tersebut bukan sekadar statistik, sebaliknya bukti keteguhan tekad bersama untuk mengangkat keilmuan Malaysia ke pentas antarabangsa supaya suara, penemuan dan pandangan para sarjana negara didengari dengan lebih meluas di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, hala tuju masa depan akademia perlu seimbang antara kemajuan teknologi dan nilai kemanusiaan, dengan menekankan keperluan melahirkan penyelidik beretika, inklusif dan berwawasan global.

Berucap pada majlis Malaysia Scopus Research Star Award (MRSA) 2025 yang diadakan pada Khamis, beliau berkata pencapaian itu juga merupakan hasil kolaborasi berterusan antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan syarikat penerbitan antarabangsa Elsevier, yang menunjukkan komitmen tinggi untuk bekerjasama dengan institusi akademik tempatan bagi mengenal pasti indeks serta jurnal berimpak tinggi.

Datuk Seri Dr Zambry menyifatkan MRSA bukan sekadar pengiktirafan terhadap kecemerlangan penyelidikan, sebaliknya mencerminkan usaha bersama membangunkan budaya ilmu yang memberi impak kepada masyarakat dan dunia.

“Kita berkumpul untuk meraikan kecemerlangan para sarjana dan keilmuan yang menerangi jalan kemajuan manusia melalui pencarian ilmu dan penemuan.

“Saya percaya Malaysia Scopus Research Star Award ini bukan sekadar majlis untuk mengiktiraf pencapaian, tetapi merupakan cerminan komitmen kita terhadap keilmuan yang diharapkan dapat mengubah kehidupan, memberi inspirasi kepada masyarakat, ” katanya.

MRSA 2025, yang diadakan sempena Festival Idea Putrajaya 2025 bertujuan meraikan para penyelidik yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN