
PUTRAJAYA, 25 Julai- Tourism Malaysia melantik IRAMA Signature dan IRAMA Dining Kuala Lumpur sebagai Rakan Strategik Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 bagi memperkukuh promosi pelancongan gastronomi menerusi pengalaman makanan warisan serta kepelbagaian budaya Malaysia.
- Memperkenalkan keunikan kulinari tempatan sebagai tarikan utama pelancongan melalui pengalaman makanan warisan dan kepelbagaian budaya Malaysia.
- 55 peserta antarabangsa dari 12 negara dibawa merasai Citrawarna serta hidangan warisan Melayu.
- Gastronomi menjadi faktor utama memilih destinasi, membuka peluang restoran warisan memperkenalkan budaya Malaysia ke peringkat global.
- IRAMA Signature tonjol tema Warisan Tradisi Melayu dengan sentuhan moden dan majlis santapan eksklusif untuk ejen pelancongan ASEAN.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Yasmin Faezah Samsudin berkata pelantikan itu merupakan sebahagian usaha memperkenalkan keunikan kulinari tempatan sebagai antara tarikan utama pelancongan negara.
“Tujuan utama kita adalah untuk memberikan pengalaman Citrawarna yang akan diadakan esok (Sabtu) kepada peserta antarabangsa, di samping memperkenalkan kepelbagaian budaya Malaysia termasuk makanan warisan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis “Warisan Hidangan Citrawarna Bersama IRAMA Signature” di sini, malam tadi.
Beliau berkata seramai 55 peserta antarabangsa dari 12 negara dibawa khas ke Malaysia bagi merasai pengalaman budaya tempatan, termasuk menghadiri acara Citrawarna serta menikmati hidangan warisan Melayu.
Menurut Yasmin Faezah, gastronomi kini menjadi antara faktor yang mempengaruhi pelancong dalam memilih destinasi percutian, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak restoran yang mengetengahkan makanan warisan untuk memperkenalkan budaya Malaysia ke peringkat global.
“Gastronomi kini menjadi antara faktor utama yang mendorong pelancong memilih destinasi percutian. Kita berharap lebih banyak restoran yang mengetengahkan makanan warisan dapat menjadi medium memperkenalkan budaya Malaysia kepada dunia,” katanya.
Kerjasama itu turut menyokong sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 untuk menarik 35.6 juta ketibaan pelancong dan menjana RM147.1 bilion hasil pelancongan, dengan pelancongan kulinari dikenal pasti sebagai antara pemacu utama industri pelancongan negara.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif berkenaan, IRAMA Signature akan mengetengahkan tema “Warisan Tradisi Melayu” sempena Citrawarna 2026 menerusi hidangan tradisional Melayu yang diberi sentuhan moden bagi memenuhi cita rasa pelancong antarabangsa.
Selain itu, IRAMA Signature turut menganjurkan majlis santapan warisan eksklusif membabitkan 70 ejen pelancongan dan delegasi ASEAN bagi memberi pengalaman langsung terhadap keunikan gastronomi tempatan.
Kerjasama antara Tourism Malaysia dan IRAMA dijangka terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan berteraskan budaya, makanan dan hospitaliti menerusi konsep “Malaysia Truly Asia”.