
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Tindakan terhadap beberapa syarikat media bukan bertujuan menyekat kebebasan media di negara ini, sebaliknya membabitkan pelanggaran berkaitan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
- Kerajaan komited memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media, sambil menyeimbangkan kebebasan dengan tanggungjawab memelihara keharmonian negara.
- Penguatkuasaan tertumpu kepada kandungan yang menyentuh isu 3R serta yang menggugat ketenteraman awam, bukan kritikan politik.
- Pindaan undang-undang termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia bertujuan memperbaiki indeks dan mengurangkan jenayah atas hinaan pemimpin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, namun kebebasan media perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab memelihara keharmonian negara.
“Dan bila kita ambil tindakan, umpamanya seperti terhadap Sin Chew, itu dianggap besar di dunia media, rasmi, kerana tindakan diambil kepada media itu dianggap sesuatu pelanggaran dari segi indeks kebebasan.
“Tetapi dalam soal itu, soal bendera, yang diselesaikan dengan baik, tetapi soal bendera negara. Jadi bagi kita, serius, mungkin bagi negara lain, kurang. Begitu juga tentang Sinar Harian, bila berikan biografi, Ketua Polis Negara, dikait dengan parti, tetapi itu diselesaikan kemudian dengan kompaun kecil.
“Tetapi bila tindakan diambil kepada media rasmi begitu, terus indeks kita melonjak. Tetapi Akta Komunikasi Multimedia, Seksyen 233, diluluskan baru-baru ini, kita perbaiki.
“Umpamanya, kalau ada setera terhadap Perdana Menteri kata pemimpin-pemimpin, itu tidak lagi termasuk dalam kategori jenayah. Itu beberapa perubahan yang saya fikir akan mempengaruhi indeks”, katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap kritikan politik, sebaliknya penguatkuasaan tertumpu kepada kandungan menyentuh isu 3R serta yang menggugat ketenteraman awam.