fb fb fb fb fb

Tindakan KPM saring semula data PAJSK calon SPM, langkah proaktif

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Julai- Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyaring semula keciciran data Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disifatkan satu langkah proaktif.

Ia bagi memastikan pelajar cemerlang SPM mempunyai peluang meneruskan pengajian ke institusi pendidikan tinggi atau mendapat tawaran daripada universiti pilihan mereka.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad berkata keseriusan KPM menangani keciciran markah PAJSK itu juga amat penting bagi memastikan isu seumpamanya tidak berulang.

"Kita harus pastikan bukan hanya akademik sahaja menjadi perhatian tapi juga hal-hal kemahiran insaniah yang diperoleh melalui aktiviti kokurikulum dan pertandingan disertai oleh murid.

"PAJSK penting, kita juga mengharapkan aktiviti kokurikulum ini dapat direkodkan dengan lebih baik supaya aktiviti dapat dikenalpasti dan mereka dapat menggunakan aktiviti-aktiviti ini sebagai bukti bahawa mereka bukan sahaja murid sahaja cemerlang akademik, tetapi cemerlang kokurikulum", katanya ketika dihubungi Berita RTM.

Sementara itu, Presiden Permuafakatan PIBG Nasional, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan ketika dihubungi berkata markah PAJSK itu penting sebagai satu pertimbangan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi.

"Tindakan tegas tersebut diambil tindakan secara berhemah dan segera. Ini memandangkan data tersebut amat penting diambil kira dalam kemasukan pelajar ke IPT untuk memberi pertimbangan wajar kepada mereka, memberi perhatian sewajarnya dalam kegiatan Jasmani, Sukan dan Kokurikulum. Diharapkan ini menjadi satu iktibar dan ingatan segera untuk diambil manfaatnya supaya tidak ketinggalan dan keciciran”, katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan isu markah PAJSK lepasan SPM yang kosong sehingga mengakibatkan ada pelajar gagal dalam permohonan untuk meneruskan pengajian ke institut pendidikan tinggi atau tawaran yang diperoleh bukan pilihan pertama.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan berkata akan menyaring semula data PAJSK pelajar lepasan SPM 2023 yang tercicir markah PAJSK.

Data itu akan diserahkan kepada Unit Pusat Universiti (UPU) bagi tujuan padanan dan penawaran melanjutkan pengajian yang tertakluk kepada kelayakan calon dan kekosongan program.

ROSLINA BINTI DIN