Tiga inisiatif digital perkukuh Putrajaya sebagai bandar pintar dan mampan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh/Foto RTM

PUTRAJAYA, 29 Januari – Tiga inisiatif digital utama dilancarkan hari ini bagi memperkukuh pembangunan Putrajaya sebagai bandar pintar dan mampan sempena Hari Terbuka Putrajaya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laman Web Pelancongan mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan, rekreasi dan acara untuk menarik pengunjung.
  • Aplikasi Mudah Alih Putrajaya menyediakan platform digital bersepadu memudahkan akses maklumat dan perkhidmatan bandar.
  • Laman Web LA21 memperkukuh penglibatan komuniti dan tadbir urus mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, inisiatif berkenaan merangkumi Laman Web Pelancongan Putrajaya, Aplikasi Mudah Alih Putrajaya serta Laman Web Local Agenda 21 (LA21).

“Laman web pelancongan mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan, rekreasi dan acara.

“Aplikasi Mudah Alih Putrajaya pula menjadi platform digital bersepadu yang memudahkan orang ramai mengakses maklumat dan perkhidmatan bandar manakala LA21 memperkukuh penglibatan komuniti serta tadbir urus mampam selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Hari Terbuka Putrajaya dan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 di sini.

Hari Terbuka Putrajaya 2026 berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Februari di Kompleks Perbadanan Putrajaya, melibatkan kira-kira 500 pempamer daripada sektor awam dan swasta.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai, khususnya keluarga untuk meluangkan masa mengunjungi program berkenaan yang turut menampilkan pelbagai reruai termasuk persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Hannah, pelbagai pengisian disediakan termasuk perkhidmatan awam, pameran pelancongan berskala besar, pendidikan dan kerjaya, aktiviti keluarga dan rekreasi, pameran kreatif, zon makanan dan minuman serta persembahan pentas.

Penganjuran itu turut disepadukan dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 dan Ulang Tahun Penubuhan Perbadanan Putrajaya ke-30, sekali gus memperkukuh kedudukan Putrajaya sebagai bandar pentadbiran mampan, mesra pelancong dan berdaya huni.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan