
KUALA LUMPUR, 5 November – Perubahan mendadak giliran soalan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini menjadi punca wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak sempat memasuki dewan, pagi tadi.
- Timbalan Menteri Datuk Hanifah Hajar Taib berada di Parlimen, mengadakan perbincangan akhir bersama pegawai di luar dewan sebagai persiapan menjawab soalan ketiga.
- Soalan kedua ditangguhkan selepas kelewatan Ahli Parlimen Kepala Batas yang sepatutnya mengemukakan soalan tersebut.
- Timbalan Menteri memberikan jawapan terperinci secara bertulis berhubung persoalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju.
- Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad tidak hadir kerana tugasan rasmi luar kawasan, menyaksikan Majlis Penyerahan SST projek Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka.
KKM menerusi kenyataan menjelaskan, Timbalan Menteri Datuk Hanifah Hajar Taib ketika itu sudah berada di Parlimen dan sedang mengadakan perbincangan akhir bersama pegawai kementerian di luar dewan sebagai persiapan menjawab soalan ketiga.
“Soalan kedua terpaksa ditangguhkan pada saat akhir susulan kelewatan Ahli Parlimen Kepala Batas yang sepatutnya mengemukakan soalan tersebut.
“Kelewatan ini menyebabkan giliran Aturan Urusan Mesyuarat melangkau terus kepada soalan ketiga secara drastik. Perubahan aliran yang mendadak ini menjadi punca utama Timbalan Menteri tidak sempat memasuki dewan tepat pada waktunya,” menurut kenyataan itu hari ini.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Datuk Hanifah telah berjumpa dan memberikan jawapan terperinci secara bertulis berhubung persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju.
Tambah kenyataan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak dapat hadir di Dewan Rakyat hari ini kerana mempunyai tugasan rasmi di luar kawasan.
“Beliau pada hari ini menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi,” katanya.