Malaysia diiktiraf antara 14 destinasi pendidikan tinggi utama dunia

Malaysia tersenarai antara 14 pilihan utama pelajar untuk melanjutkan pelajaran

KUALA LUMPUR, 5 November – Malaysia kini diiktiraf sebagai antara 14 destinasi pendidikan tinggi utama dunia (World-Leading Student Destinations), sebaris dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rekod 159,100 pelajar antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi.
  • Pertumbuhan 70 peratus dalam lima tahun, antara kenaikan tertinggi di peringkat dunia.
  • Kualiti pengajian tinggi, tenaga akademik kuat dan kos berpatutan menjadikan Malaysia tumpuan pelajar antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, Malaysia kini tersenarai dalam kalangan 14 destinasi pendidikan tinggi utama dunia dengan merekodkan 159,100 pelajar antarabangsa.

Menurut beliau, Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan ketiga tertinggi di dunia dalam tempoh lima tahun, iaitu sebanyak 70 peratus.

“Dahulu, apabila bercakap tentang melanjutkan pengajian ke luar negara, ramai yang membayangkan Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia. Hari ini, Malaysia juga semakin menjadi pilihan pelajar antarabangsa.

“Negara merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 16 peratus dalam kelompok Big 14.

“Pencapaian ini bukan sekadar tentang angka atau kedudukan. Ini adalah pengiktirafan terhadap keupayaan universiti kita, kualiti para akademia, kekuatan ekosistem pendidikan tinggi dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia,” menurut hantaran beliau di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Zambry berkata antara faktor yang menjadikan Malaysia semakin mendapat perhatian pelajar antarabangsa ialah penawaran pendidikan tinggi berkualiti pada kos yang lebih berpatutan.

“Inilah cita-cita besar kita. Menjadikan Malaysia sebuah negara yang bukan sahaja menghantar anak bangsanya menimba ilmu ke seluruh dunia, tetapi turut menjadi tempat dunia datang mencari ilmu.
Dari Malaysia, kita bina masa depan dunia,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.