
BANGI, 5 November- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merancang memperkenalkan sistem ujian dan pensijilan standard Bahasa Melayu bagi mengukur tahap penguasaan bahasa itu, sekali gus memperluas penggunaannya dalam bidang pendidikan tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
- Sistem peperiksaan dibangunkan oleh Institut ATMA sebagai instrumen penilaian kompetensi Bahasa Melayu setaraf IELTS dan TOEFL.
- Pensijilan dicadangkan sebagai syarat permohonan kewarganegaraan dan untuk penulisan tesis akademik tempatan.
- UKM bekerjasama dengan Yayasan Aman untuk penyelidikan tokoh wanita Alam Melayu, dana tajaan dan integrasi hasil ke model AI LLM Bahasa Melayu.
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata sistem peperiksaan itu akan dibangunkan menerusi Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sebagai instrumen penilaian kompetensi Bahasa Melayu, seumpama sistem International English Language Testing System (IELTS) dan Test of English as a Foreign Language (TOEFL).
Beliau berkata, sistem berkenaan bukan sahaja menyasarkan pelajar universiti tempatan, malah berpotensi dimanfaatkan pelajar antarabangsa yang ingin melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi negara.
“Sebagai contoh, UKM menerima pelajar dari negara-negara Asia Tenggara yang menggunakan Bahasa Melayu. Mereka boleh menduduki peperiksaan Bahasa Melayu yang bakal diperkenalkan UKM sebagai alternatif kepada peperiksaan Bahasa Inggeris, sekali gus membolehkan mereka menulis tesis dalam Bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara UKM dengan Yayasan Aman di sini, yang disaksikan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Sufian, pensijilan standard Bahasa Melayu itu turut dicadangkan sebagai salah satu syarat bagi permohonan kewarganegaraan negara ini serta penulisan tesis akademik tempatan.
“Sebagai contoh, individu yang ingin memohon kewarganegaraan Malaysia dicadangkan diwajibkan mengikuti kursus Bahasa Melayu yang dikendalikan oleh ATMA, UKM,” katanya lagi.
Bagaimanapun, cadangan berkenaan masih perlu diperincikan dan tidak boleh dianggap sebagai syarat yang telah berkuat kuasa.
Dalam perkembangan lain, UKM dan Yayasan Aman menjalinkan kerjasama dalam penyelidikan serta penerbitan dokumentasi mengenai tokoh kepimpinan wanita di Alam Melayu bagi memperluas rujukan dan pengiktirafan terhadap sumbangan golongan itu.
Dr. Sufian Jusoh berkata kerjasama berkenaan turut melibatkan penyediaan dana tajaan bernilai ratusan ribu ringgit daripada Yayasan Aman.
Beliau berkata, hasil penyelidikan itu akan disepadukan ke dalam model kecerdasan buatan (AI) berasaskan Model Bahasa Besar (LLM) Bahasa Melayu yang sedang dibangunkan UKM.
Usaha itu dijangka membolehkan maklumat mengenai tokoh kepimpinan wanita Alam Melayu diakses secara lebih meluas menerusi platform digital.