fb fb fb fb fb

Tiada lagi pembelian pukal diesel nelayan, elak ketirisan bahan subsidi

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil

KUALA KEDAH, 13 Mei- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pembelian diesel bersubsidi dalam kalangan nelayan bagi mengelak penyelewengan bahan subsidi itu.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, antara SOP itu adalah supaya tiada lagi pembelian secara pukal diesel oleh nelayan bagi mengekang penyeludupan.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan susulan kes penyelewengan diesel yang membabitkan nelayan menggunakan minyak yang sepatutnya dibekalkan kepada nelayan di Kuala Muda, bulan lalu.

"Seminggu selepas kejadian itu, kita memanggil semua pegawai dan pengurus besar persatuan nelayan kawasan (PNK) yang terbabit dengan jualan minyak diesel ini dan mengadakan pertemuan bagi membaiki beberapa SOP atau tatacara yang kita ketatkan untuk pastikan tiada ketirisan seperti ini.

"Kita mahu subsidi minyak ini memberi manfaat kepada nelayan secara keseluruhan kerana hampir keseluruhan kos nelayan ini adalah minyak, Jadi tak bolehlah berlaku sebarang ketirisan dan kita mengambil serius tentang perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Rahmah Mesra Bersama Nelayan Kuala Kedah di Slipway Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah, Kampung Telok Layang di sini hari ini.
 
Media ini sebelum ini melaporkan dua lelaki ditahan polis ketika cuba memindahkan minyak diesel bersubsidi dari sebuah treler milik PNK Kuala Kedah ke dalam dua lori di sebuah premis di Bedong, Kuala Muda.

Hasil siasatan polis mendapati treler muatan diesel berkenaan dipercayai milik persatuan nelayan itu dan dipandu seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an.

Sementara itu Muhammad Faiz berkata, jumlah pembelian diesel bersubsidi itu tertakluk kepada jenis bot yang dikendali nelayan berkenaan.

"Setiap bot ada kapasiti minyak kalau bot jenis C ia adalah 17,000 liter. Kalau petrol sebenarnya tidak ada masalah kecuali berlaku ketirisan di peringkat stesen minyak," ujarnya.

 
 
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI