(Mohamad Hasan/BERNAMA)
LANGKAWI, 22 Mei- Tiada sebarang keperluan untuk menggubal dasar pertahanan negara terutama membabitkan aset keselamatan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar sedia ada akan terus diperkukuh bagi mencapai objektif perlaksanaannya, sekali gus mengembangkan industri berkenaan.
"Belum ada keperluan untuk mengubah dasar tersebut, yang penting adalah pengurusan.
"Objektif kami adalah mengukuhkan pengurusan dan dasar sedia ada diteruskan. Industri tempatan tidak perlu was-was, dasar kerajaan akan diteruskan dan dijayakan dengan baik," katanya pada sidang media selepas melawat persiapan terakhir penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA'23) di Langkawi.
Sebanyak RM18 bilion janji niaga dijangka akan dimuktamadkan pada LIMA'23 yang berlangsung selama lima hari bermula esok.
LIMA'23 akan dilancarkan malam ini oleh Menteri Pertahananan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).
(Mohamad Hasan (depan) melakukan tinjauan bersama media sempena LIMA ‘23
di Resort World Langkawi/BERNAMA)