
SEREMBAN, 2 April -Projek pembangunan yang sedang berjalan akan diteruskan dan disiapkan meskipun berlaku kenaikan kos susulan konflik di Asia Barat.
- Projek pembangunan diteruskan dan disiapkan walaupun kos meningkat akibat konflik di Asia Barat.
- Fokus perancangan jangka sederhana, pemantauan berterusan dan mempercepat tindakan susulan supaya pelaksanaan kekal mengikut jadual serta elak kos tambahan.
- Menilai ruang intervensi dalam skop sedia ada, turun padang dan berbincang dengan pengurusan projek untuk selesaikan cabaran segera.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata, tumpuan kini diberikan kepada perancangan jangka sederhana, termasuk pemantauan berterusan serta mempercepatkan tindakan susulan.
Langkah itu bagi memastikan pelaksanaan projek kekal mengikut jadual, tidak menjejaskan momentum ekonomi serta mengelakkan pertambahan kos kepada peruntukan pembangunan.
‘Maka, di peringkat ini, kami meneliti sekiranya terdapat ruang intervensi yang masih boleh dilaksanakan dalam skop sedia ada supaya perkara tersebut dapat diselesaikan atau diteruskan. Justeru, setiap kali turun padang, kami turut berbincang dengan pihak pengurusan projek bagi memastikan isu-isu yang sebelum ini menjadi cabaran dapat diselesaikan dengan segera.
“Di peringkat Kementerian Ekonomi, kami menjangkakan konflik ini paling singkat akan berlarutan selama enam bulan, dan sekiranya tidak reda, kesannya mungkin berlanjutan sehingga setahun. Oleh itu, perancangan dan penyusunan perlu mengambil kira jangka masa sederhana. Sehubungan itu, kami sedang meneliti pendekatan yang sesuai untuk melaksanakan intervensi serta memastikan keutamaan dan keperluan semasa dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin,” kata Akmal.
Beliau bercakap kepada media pada Lawatan Kerja dan Sidang Media Menteri Ekonomi ke Projek Malaysia Vision Valley (MVV): Membina Jalan Baharu Nilai-Labu ke Bandar Enstek, di sini.
Dalam pada itu, Projek Malaysia Vision Valley (MVV), pembinaan Jalan Baharu Nilai- Labu ke Bandar Enstek yang melibatkan kos sebanyak RM557.5 juta itu dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan.
Tambahnya, lawatan itu bagi meninjau projek pembangunan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh jaringan jalan raya, seiring peranan kawasan berkenaan sebagai koridor pertumbuhan utama.