Tawaran IPT: Pelajar jangan tolak walau kekangan kewangan

KSU KPKT, Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim/Foto RTM

KOTA BHARU, 11 Jun – Pelajar yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diminta tidak menolak peluang tersebut walaupun berdepan masalah kewangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan, institusi zakat dan agensi berkaitan menyediakan pelbagai bantuan bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian.
  • Pelajar digesa mendaftar terlebih dahulu sebelum memaklumkan masalah kewangan kepada universiti agar bantuan dapat disalurkan segera.
  • Bantuan termasuk wang pendahuluan PTPTN RM1,500, pembiayaan yuran, bantuan zakat, baucar buku, Dapur Siswa dan peluang kerja sambilan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata, pelbagai bantuan telah disediakan kerajaan termasuk melalui institusi zakat dan agensi berkaitan bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian.

Menurut beliau, pelajar perlu menerima tawaran dan mendaftar terlebih dahulu sebelum memaklumkan masalah kewangan kepada pihak universiti bagi membolehkan bantuan disalurkan segera.

“Kekangan kemiskinan tidak seharusnya menjadi penghalang. Di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kita akan berusaha sedaya upaya untuk membantu. Kita juga mempunyai pelbagai agensi dan badan berkaitan yang akan menghubungkan serta menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada media selepas Majlis Penutup Kejohanan 19th Malaysia FIRA
Cup 2026 di Politeknik Kota Bharu, hari ini.

Antara bantuan yang disediakan termasuk Bantuan Wang Pendahuluan PTPTN sebanyak RM1,500 sebagai persediaan awal kemasukan ke IPT.

Selain itu, pelajar daripada keluarga B40 serta individu pertama dalam keluarga yang melanjutkan pengajian turut layak menerima pelbagai bentuk bantuan seperti pembiayaan yuran pendidikan, bantuan Yayasan Perkasa Siswa sebanyak RM500, bantuan zakat IPT serta baucar buku.

Dalam pada itu, kerajaan turut melaksanakan inisiatif Dapur Siswa di universiti awam serta program ‘Job on Campus’ bagi membantu mengurangkan kos sara hidup mahasiswa melalui peluang pekerjaan sambilan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengurusan universiti di seluruh negara sentiasa menilai semula kursus yang ditawarkan bagi memastikan ia kekal relevan dan memenuhi keperluan industri.

Ketika ini, terdapat 20 universiti awam dan lebih 300 institusi pengajian tinggi swasta beroperasi di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.