
SHAH ALAM, 11 Jun – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang meneliti semula Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi memastikan ia kekal relevan dengan perkembangan semasa sektor perumahan negara.
- Semakan undang-undang penting kerana negara beralih kepada pembangunan perumahan strata akibat pertambahan penduduk dan keterbatasan ruang bandar.
- Konvensyen Strata 2026 menghimpunkan kira-kira 130 peserta dari seluruh negara untuk memberi input kepada jabatan perumahan.
- Dapatan konvensyen akan digunakan bagi mengenal pasti penambahbaikan untuk memperkukuh tadbir urus dan pengurusan strata yang lebih efisien.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, semakan itu penting susulan peningkatan pembangunan perumahan berkonsepkan strata, selaras pertambahan penduduk dan kekangan ruang di kawasan bandar.
“Akta Pengurusan Strata ini telah diwujudkan sejak tahun 2013. Namun, berdasarkan pengalaman yang semakin bertambah serta perkembangan pesat di seluruh negara, ia kini memerlukan semakan dan pindaan semula.
“Ketika ini, kita masih di peringkat penelitian semula, dan konvensyen ini akan memberi input penting kepada Jabatan Perumahan Negara untuk menilai aspek-aspek yang perlu ditambah baik dalam usaha pindaan tersebut,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa perbincangan mengenai pengurusan strata amat penting memandangkan Malaysia kini semakin beralih kepada pembangunan perumahan berstrata, seiring pertambahan penduduk dan kekangan ruang tanah.
“Perkara ini sangat penting kerana kita melihat trend perumahan negara semakin menuju ke arah strata. Dengan pertambahan penduduk dan ruang yang terhad, perbincangan ini membantu kerajaan memberi tumpuan kepada aspek yang perlu diperkukuh,” katanya selepas merasmikan Persidangan Strata 2026: Ke Arah Pengurusan Strata Kelas Pertama di Shah Alam, Selangor.
Menurutnya, konvensyen yang menghimpunkan kira-kira 130 peserta dari seluruh negara itu menjadi platform penting bagi mendapatkan input dan pandangan berkaitan pengurusan strata, yang akan digunakan dalam proses semakan akta berkenaan.
Jelasnya, trend pembangunan perumahan bertingkat dijangka terus meningkat pada masa hadapan, sekali gus menjadikan perbincangan berkaitan pengurusan strata semakin penting untuk memperkukuh tadbir urus sektor perumahan negara.
Hasil dapatan daripada konvensyen tersebut akan membantu kerajaan mengenal pasti aspek penambahbaikan bagi memastikan pengurusan strata lebih efisien dan berkesan pada masa akan datang.