
SHAH ALAM, 11 Jun – Isu penempatan komuniti Rohingya yang menghuni bangunan empat tingkat di Kampung Baru Sungai Macau, Mukim Hulu Langat, Selangor yang tular sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan pengurusan strata.
- Kementerian menyatakan perkara telah dijelaskan dan menyerahkan pengurusan kepada kerajaan negeri mengikut bidang kuasa.
- Menteri Besar memaklumkan sejak 2016 dikeluarkan notis amaran, kompaun, operasi bersepadu dan tindakan penguatkuasaan.
- Pegawai Daerah memaklumkan perobohan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang selepas semua proses penguatkuasaan dijalankan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata perkara itu telah pun dijelaskan dan yakin ia akan diuruskan oleh kerajaan negeri mengikut bidang kuasa ditetapkan.
“Sebenarnya isu itu tidak ada kaitan dengan strata. Perkara ini telah pun dijawab oleh Menteri Besar, dan biarlah mereka menguruskannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Strata 2026: Ke Arah Pengurusan Strata Kelas Pertama di Shah Alam, Selangor.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan pelbagai tindakan telah diambil oleh agensi kerajaan sejak 2016 termasuk notis amaran, kompaun, operasi bersepadu serta penguatkuasaan terhadap bangunan berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim berkata tindakan perobohan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang selepas semua proses penguatkuasaan sebelum ini dijalankan terhadap struktur terbabit.