
KANGAR, 11 Jun – Kuala Perlis mencatat sejarah apabila SMK Kuala Perlis menjadi sekolah pertama di Malaysia melaksanakan inisiatif ‘AI Powered Classroom’ menerusi program ‘Pre-Google Reference Institution’ (PGRI).
- Inisiatif dijadikan model perintis untuk peluasan penggunaan AI dalam pendidikan, selaras dengan agenda transformasi digital Kementerian Pendidikan.
- Pelaksanaan diperluas secara berperingkat; awalnya kira-kira 27 sekolah, disasarkan 800 sekolah menjelang hujung tahun.
- Program PGRI dalam tempoh inkubasi dua tahun bagi menilai keberkesanan pelaksanaan dalam pengajaran dan pembelajaran.
- Sekolah mesti menyediakan peranti Chromebook untuk murid dan mengguna aplikasi Google sepenuhnya dalam operasi pembelajaran harian.
Inisiatif itu sekali gus menjadi model perintis kepada peluasan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara, selaras dengan agenda transformasi pendidikan digital oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Datuk Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, pelaksanaan program berkenaan akan diperluaskan secara berperingkat membabitkan lebih banyak sekolah di seluruh negara.
“Pada peringkat awal, kira-kira 27 buah sekolah akan terlibat sebelum diperluaskan sehingga 800 sekolah menjelang hujung tahun ini.
“Inisiatif tersebut merupakan langkah pertama KPM dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran digital berasaskan teknologi AI di sekolah, ” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin berkata program PGRI kini berada dalam tempoh inkubasi selama dua tahun bagi menilai keberkesanan pelaksanaannya dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Dalam tempoh tersebut, pihak sekolah memenuhi syarat ditetapkan termasuk penyediaan peranti Chromebook kepada murid serta penggunaan aplikasi Google secara menyeluruh dalam operasi pembelajaran harian,” katanya.
Majlis peluncuran ‘AI Powered Classroom’ itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail, yang turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.