ANKARA, 7 Julai- Industri Aeroangkasa Turkiye (TAI) berharap penubuhan kilang pengeluaran dan pemasangan produk aeroangkasanya dapat direalisasikan di Malaysia tahun depan.
Ia sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pangkalan Asia Pasifiknya.
Beberapa lokasi sudah dikenal pasti namun belum dimuktamadkan.
Antara produk yang dirancang untuk dihasilkan di Malaysia ialah kenderaan udara tanpa pemandu ANKA yang dibangunkan tempatan, pesawat latihan, helikopter GOKBEY dan jet serangan ringan HURJET yang dijangka akan diperkenalkan tahun depan.
Menyedari dasar kerajaan Malaysia dalam aeroangkasa, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TAI, Profesor Temel Kotil percaya syarikat itu boleh menyokong industri aeroangkasa negara dengan pengalamannya.
Justeru, Profesor Temel yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Airlines berkata TAI mahu bekerjasama dengan syarikat Malaysia untuk membuka kilangnya.
"Presiden (Erdogan) berkata kami perlu menyokong negara seperti Malaysia. Apa yang kami bina, kami sebenarnya menggunakan pengetahuan jurutera anda untuk meningkatkan pengetahuan kami. Ini menang-menang. Jadi kami berharap ia direalisasikan. Namun, kami perlu mempunyai perniagaan di Malaysia. Ia langkah semulajadi. Apabila kami ke Malaysia untuk memulakan pengeluaran, anda akan melihat apa yang kami bawa sangat bermanfaat," kata Profesor Temel ketika ditemu bual pemberita RTM, di sini.
(Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TAI, Profesor Temel Kotil)
TAI telah membuka pejabat di Cyberjaya akhir tahun lepas.
Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali berkata mereka bekerjasama rapat dengan TAI untuk memindahkan teknologi aeroangkasa dari Turkiye ke Malaysia.
"Kita di MIGHT memang menekankan untuk menggunakan peluang ini, kerana sebagai contoh berhubung keperluan pertahanan negara dan sebagainya, kita membeli barang dari luar tetapi sampai bila kita akan teruskan dengan langkah tersebut? Dengan pemindahan teknologi, dimana pihak pembekal bersedia untuk datang ke Malaysia untuk membangunkan kilang dan sebagainya akan membolehkan kita membangunkan teknologi sendiri pada masa depan dan kita tidak lagi bergantung kepada pihak luar," kata Tan Sri Ahmad Tajuddin kepada pemberita RTM hari ini.
(Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali)
TAI yang kini melatih 20 jurutera Malaysia di pejabatnya di Cyberjaya mahu menambah 100 lagi jurutera menjelang akhir tahun ini.