fb fb fb fb fb

Tahun Baharu Cina, sambutan meriah, tarik kehadiran pelancong

Persembahan tarian singa menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat yang berkunjung di sebuah pusat beli-belah sempena sambutan Tahun Baharu Cina/ BERNAMA

KUANTAN 1 Februari- Sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan yang disambut oleh masyarakat Malaysia berbilang kaum, sebaliknya turut menjadi medium menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa melalui kepelbagaian budaya yang dipamerkan.

Malah, menurut Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man, sambutan tahun ini lebih bermakna dengan inisiatif pembakaran mercun yang digantung setinggi 188 meter dari Menara Kuantan 188, yang juga menara kedua tertinggi di negara ini.

"Dengan ini kita berharap bahawa ia boleh menjadi satu daya tarikan, bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi sempena musim perayaan seperti cuti ini.

"Ia juga dapat menarik pelancong domestik dan juga antarabangsa. Saya difahamkan bahawa hari pertama, hari kedua Tahun Baharu Cina, ada juga kunjungan pelancong dari luar negara ke pasar-pasar ini. Sebagai contoh dari China dan juga pengunjung dari luar kawasan Pahang.

"Jadi, kita berterima kasih kepada semua pihak yang sudi bersama-sama merancakkan sektor pelancongan khususnya di Kuantan", katanya kepada pemberita di sini.

Pembakaran mercun itu disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan berangkat ke majlis sambutan tersebut.

Baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. 

Pada majlis itu, Baginda juga berkenan menggaul 'Yee Sang' bersama tetamu jemputan dan menyaksikan persembahan tarian singa, serta pertunjukan lukisan.

ROSLINA BINTI DIN