fb fb fb fb fb

Tabung AAKRP disalur terus ke Gaza, tidak diguna untuk tujuan pengurusan

(Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bulat Sabit Merah Mesir Dr Ramy el-Nazer / FOTO BERNAMA)

KAHERAH, 23 Oktober - Kutipan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) akan disalurkan secara langsung dan tidak digunakan untuk tujuan pengurusan dan pentadbiran.
 
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerajaan melarang badan-badan yang tidak telus dan tidak mempunyai akaun teratur kerana tindakan itu akan merugikan rakyat Gaza yang sangat memerlukan bantuan.

Perdana Menteri juga sudah berbincang dengan Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, Dr Ramy El-Nazir  mengenai beberapa kaedah dalam menyalurkan bantuan terus ke Gaza.
 
"Beliau berbincang dan saya sempat menemui wakil MERCY supaya diberikan keutamaan jangan beli ikut selera kita, ini masalah badan-badan yang menganjurkan. Niatnya baik tapi kadang-kadang beli yang orang tidak perlukan ataupun dia tentukan, tidak boleh, kita kena dengan apa yang orang Gaza mahu, ubat-ubatan pun ada jenis ubat dan mesti dilabel dengan betul.

"Ada beberapa kaedah yang perlu dipatuhi kemudian makanan pun begitu juga, mereka tiada upaya untuk masak jadi makanan yang dalam tin dan kadang ada yang beri maklumat kalau Maggi itu, mereka tidak makan. Jadi hal-hal ini jangan beli sehingga kita tahu. Kalau betul makanan ini tidak diperlukan di sana mungkin kita simpan dan salurkan kepada mangsa-mangsa banjir dan lain-lain," katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan kerja ke Kaherah, Mesir.
 
Tambah Anwar, Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 200 buah kontena yang membawa keperluan bantuan sehari, namun setakat pagi tadi hanya 15 kontena sahaja yang diizinkan masuk untuk menghantar bantuan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN