
PUTRAJAYA, 30 Jun– Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman di sini pada pukul 8.50 pagi.
- Hadir dengar keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pelepasan dalam kes dana ARMADA.
- Keputusan Mahkamah Persekutuan tentukan sama ada pelepasan dikekalkan atau sabitan dikembalikan, boleh jejaskan kelayakan sebagai Ahli Parlimen.
- Kes melibatkan empat pertuduhan: pecah amanah, salah guna harta dan dua tuduhan pengubahan wang haram.
Beliau hadir bagi mendengar keputusan rayuan akhir yang dikemukakan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskannya dalam kes berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal dilepas dan dibebaskan atau sabitan serta hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini dikembalikan.
Keputusan itu akan disampaikan panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais.
Turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Kes berkenaan melibatkan empat pertuduhan, iaitu bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana ARMADA.
Mahkamah Rayuan sebelum ini mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan. Sehari kemudian, pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu turut menjadi perhatian kerana boleh memberi kesan terhadap kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Muar.
Di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan sekiranya disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000, melainkan mendapat pengampunan.
Suasana di Istana Kehakiman turut menjadi tumpuan apabila pengamal media dan orang awam mula berkumpul sejak awal pagi bagi mengikuti perkembangan prosiding berprofil tinggi itu.