Suri rumah maut dilanggar kereta ketika melintas jalan

Seorang suri rumah maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Lebuhraya Darul Aman/ RTM

ALOR SETAR, 18 Februari – Seorang suri rumah maut dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan dalam kejadian di Lebuhraya Darul Aman, di sini kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu tidak sempat mengelak selepas mangsa melintas secara mengejut di lorong kanan menyebabkan impak kuat.
  • Pencahayaan jalan gelap kerana lampu jalan tidak menyala menyumbang kepada kejadian.
  • Mayat dibawa untuk bedah siasat, pemandu negatif ujian air kencing dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata mangsa, Chin Seow Hua, 68, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat dilanggar kereta yang sedang bergerak lurus di lorong kanan jalan berkenaan.

Siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 29 tahun datang dari arah Taman Sri Gemilang, Mergong menuju ke Jitra, manakala mangsa melintas dari kiri ke kanan jalan.

“Ketika kejadian, keadaan jalan lurus dan cuaca baik, namun pencahayaan gelap kerana lampu jalan tidak menyala dan mangsa dipercayai melintas jalan secara mengejut di hadapan kenderaan.

“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa, mengakibatkan mangsa melambung dan terjatuh di atas jalan,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesan seretan brek sepanjang 9.6 meter turut ditemui di lorong kanan jalan dan impak kemalangan menyebabkan cermin hadapan kereta pecah, manakala bonet dan bampar depan kemek.

Bagaimanapun pemandu tidak mengalami kecederaan manakala mangsa cedera parah di kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Polis turut menahan kenderaan terlibat untuk pemeriksaan lanjut dan ujian saringan air kencing ke atas pemandu didapati negatif.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pejalan kaki yang melintas di tempat bukan lintasan pejalan kaki.

Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.