fb fb fb fb fb

Sultan Selangor titahkan pentadbiran kerajaan negeri diteruskan

SHAH ALAM, 11 Oktober- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pentadbiran kerajaan negeri penggal ini diteruskan, supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata perkara itu dititahkan ketika beliau menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di sini, dalam sesi menghadap berjadual.

Dalam sesi menghadap itu, beliau telah menyembah maklum komitmen dan persiapan kerajaan negeri dalam mendepani kemungkinan situasi banjir di negeri itu, usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan, serta persiapan Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini.

(Foto fail)

Ketika ditemui pemberita selepas majlis menghadap itu, Amirudin berkata tidak ada permintaan untuk pembubaran DUN Selangor dipersembahkan kepada Sultan Sharafuddin.

“Kami (kerajaan negeri) akan ikut rancangan kami untuk membubarkan DUN pada tahun hadapan,” katanya.

Amirudin berkata Sultan Selangor menitahkan kerajaan negeri supaya segera menyelesaikan isu melibatkan kepentingan rakyat, termasuk projek tebatan banjir serta pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam sebelum membubarkan DUN.

Media Baharu