Sultan Perak perkenan belia baca Khutbah Jumaat

94 pemimpin belia diberi penghormatan menyampaikan khutbah bertajuk “Belia: Tenaga Penggerak Kemajuan Negara”, esok / Foto BERNAMA

IPOH, 7 Mei – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah memperkenankan golongan belia diberi penghormatan membaca Khutbah Jumaat di masjid seluruh negeri esok bersempena sambutan Hari Belia Negara pada 15 Mei ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Khutbah Jumaat di Perak esok bertemakan belia: "Belia: Tenaga Penggerak Kemajuan Negara"
  • Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata titah itu bagi menghargai dan mengiktiraf peranan penting belia di negara ini
  • 94 pemimpin belia diperkenankan membaca khutbah di masjid dan surau Perak pada 8 Mei 2026, melibatkan ABIM, Majlis Belia Daerah dan kelab belia

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin bertitah sedemikian bagi menghargai dan mengiktiraf peranan penting belia di negara ini.

Baginda turut menitahkan agar Khutbah Jumaat di Perak esok bertemakan belia dengan tajuk “Belia: Tenaga Penggerak Kemajuan Negara”.

“Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah mengemukakan 94 nama pemimpin belia yang telah diperkenankan oleh Sultan Perak untuk membaca khutbah di masjid dan Surau Diri Jumaat negeri Perak pada 8 Mei 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara pemimpin belia yang akan terlibat adalah daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Belia Daerah, Kelab Rakan Muda dan kelab belia.